Bank Terbaik Untuk Loan Kereta 2026

Soalan paling kerap orang tanya bila nak beli kereta ialah, “Bank mana paling senang lulus loan?” Jawapannya: tak ada satu bank yang paling terbaik untuk semua orang.

Bank terbaik bergantung kepada profil pemohon – sama ada anda makan gaji, berniaga, kerja swasta, ada KWSP atau tidak, gaji masuk bank mana, dan berapa komitmen sedia ada.

Masuk tahun 2026, corak kelulusan loan kereta sebenarnya tidak banyak berubah, cuma bank semakin berhati-hati. Tapi kalau tahu strategi dan faham kelebihan setiap bank, peluang lulus memang jauh lebih tinggi.

Dalam artikel ini, saya kongsikan pengalaman sebenar urusan loan kereta, khususnya melibatkan Maybank, Public Bank, RHB, AmBank, CIMB dan Hong Leong Bank, supaya anda boleh buat keputusan dengan lebih yakin sebelum hantar permohonan.


Maybank – Pilihan Paling Popular Untuk Makan Gaji & Berniaga
Kalau sebut pasal loan kereta, Maybank memang antara bank yang paling ramai orang pilih. Sebab utama, ramai majikan masukkan gaji terus ke akaun Maybank, jadi dari segi rekod kewangan, bank ini memang mudah nampak aliran duit pemohon.

Untuk pemohon makan gaji, Maybank biasanya lebih fleksibel dari segi kelulusan. Potongan bulanan pun mudah sebab gaji dan loan dalam bank yang sama. Ini satu kelebihan besar yang ramai orang tak sedar.

Bagi pemohon berniaga, Maybank juga antara bank yang agak mesra. Anda masih boleh guna penyata bank atas nama individu, asalkan aliran masuk konsisten dan munasabah. Tak semua bank benarkan perkara ini.

Selain itu, Maybank juga ada beberapa pilihan jika pemohon tak mahu guna penjamin. Contohnya, boleh gunakan fixed deposit sebagai sokongan atau kurangkan margin pembiayaan daripada 90% ke 80% loan untuk kuatkan profil kewangan.

Maybank sesuai untuk:
  • Makan gaji (kerajaan atau swasta)
  • Berniaga kecil atau individu
  • Pemohon tanpa penjamin tapi ada simpanan


Public Bank – Stabil, Tapi Sedikit Ketat Untuk Pemohon Baru
Public Bank juga sering dianggap setaraf dengan Maybank, cuma dari segi kelulusan, bank ini sedikit lebih ketat.

Namun, itu bukan bermaksud susah lulus. Cuma mereka lebih teliti, terutamanya untuk pemohon loan pertama. Kalau anda pertama kali buat loan kereta, ada kemungkinan Public Bank akan minta penjamin, terutamanya jika gaji bersih tidak terlalu tinggi atau komitmen agak rapat.

Untuk pemohon berniaga, situasinya hampir sama dengan Maybank. Anda masih boleh guna penyata bank atas nama individu, asalkan transaksi masuk konsisten dan boleh dijelaskan. Ini satu kelebihan berbanding beberapa bank lain.

Public Bank sesuai untuk mereka yang:
  • Ada rekod kewangan bersih
  • Tak kisah sediakan penjamin untuk loan pertama
  • Nak bank yang stabil dan jangka panjang

RHB Bank – Kadar Faedah Berubah, Kelulusan Agak Fleksibel
RHB Bank sedikit berbeza berbanding bank lain kerana mereka menggunakan variable rate, bukan fixed rate. Maksudnya, kadar faedah boleh berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Ada masa naik, ada masa turun.

Dari segi permohonan, RHB kadangkala lebih mudah lulus, terutama untuk pemohon makan gaji. Tapi bila masuk kategori berniaga, syaratnya jadi lebih ketat dan sebab itu ramai peniaga kurang gemar mohon melalui RHB.

Satu perkara penting tentang RHB ialah keperluan KWSP. Biasanya, bank ini akan minta penyata KWSP tahun 2024 dan 2025, yang bermaksud pemohon swasta perlu bekerja sekurang-kurangnya dua tahun.

Namun, jika gaji masuk ke bank secara konsisten walaupun tanpa KWSP, masih boleh cuba mohon, asalkan aliran gaji jelas dan stabil.

RHB sesuai untuk:
  • Pekerja swasta dengan rekod kerja stabil
  • Pemohon yang tak kisah kadar faedah berubah
  • Gaji konsisten masuk bank

AmBank – Lulus Boleh, Tapi Perlu Tengok Kadar Faedah
AmBank sebenarnya bukan bank yang bermasalah, cuma satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah kadar faedah (interest).
Ada masa kadar yang ditawarkan agak tinggi berbanding bank lain, jadi pemohon perlu betul-betul semak sebelum setuju.

Dari segi kelulusan, AmBank masih boleh dipertimbangkan terutamanya jika bank lain sudah cuba dan kurang berjaya. Cuma, jangan terus fokus pada kelulusan semata-mata, kira juga jumlah bayaran keseluruhan sepanjang tempoh loan.

CIMB Bank – Alternatif Yang Masih Relevan
CIMB pula boleh dikatakan sebagai bank alternatif yang masih ok untuk loan kereta. Tak terlalu ketat, tak terlalu longgar. Sesuai untuk pemohon yang ada profil sederhana dan rekod kewangan yang kemas.

Walaupun tak sepopular Maybank atau Public Bank untuk loan kereta, CIMB masih menjadi pilihan jika dokumen lengkap dan pendapatan stabil.

Hong Leong Bank – Sesuai Untuk Perniagaan Berdaftar
Untuk pemohon berniaga, Hong Leong Bank ada satu syarat penting yang ramai orang terlepas pandang. Bank ini tidak membenarkan penyata bank atas nama individu jika anda berniaga. Anda wajib guna penyata bank atas nama syarikat.

Jika perniagaan anda memang berdaftar dan akaun syarikat aktif, Hong Leong sebenarnya agak ok. Tapi untuk peniaga kecil yang guna akaun peribadi, bank ini mungkin kurang sesuai.

Bank Mana Paling Terbaik Untuk Loan Kereta 2026?
Jawapan jujurnya, bank terbaik ialah bank yang sesuai dengan situasi anda, bukan situasi orang lain. Ada orang lulus mudah di Maybank, ada yang lebih cantik di Public Bank, dan ada juga yang hanya berjaya melalui RHB atau CIMB.

Sebab itu, sebelum mohon loan, penting untuk:
  • Faham status kerja dan pendapatan sendiri
  • Tahu bank mana gaji masuk
  • Nilai sama ada makan gaji atau berniaga
  • Semak komitmen sedia ada

Kalau silap pilih bank dari awal, permohonan boleh ditolak dan rekod CCRIS akan terjejas.

📞 Mohamad Ayub Sales Advisor Honda Tawau
☎️ Hubungi saya sekarang untuk info loan kereta yang sesuai dengan bajet anda!

Catat Ulasan

0 Ulasan